PUTRAJAYA, 7 April – TAKTIK…… Barisan Nasional (BN) tidak goyah serta gusar dengan keputusan Pakatan Harapan (PH) memilih menggunakan logo dan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata apa yang perlu ditekankan ialah pengundi perlu tahu ia sekadar taktik pembangkang ‘menyembunyikan’ DAP yang semakin ditolak masyarakat Melayu di sebalik logo PKR.

“Itu strategi lapuk. Kita sudah tahu apa mereka nak buat, cuma kita mahu ingatkan pengundi jangan terpengaruh kerana dalam logo PKR yang digunakan itu ada DAP, Amanah dan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) yang bermasalah.

“Untuk mengelirukan rakyat, pembangkang cuba meniru konsep BN tetapi mereka lupa gabungan parti dalam BN telah lama wujud, malah rakyat juga tahu gabungan ini (BN) menggunakan kaedah setiap keputusan dibuat secara konsensus,” katanya ketika ditemui media pada Karnival Insan Istimewa hari ini.

Pengumuman penggunaan logo PKR itu dibuat Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad pada program Jelajah Harapan di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor malam tadi.

Tengku Adnan yang juga Anggota Parlimen Putrajaya berkata BN mempunyai kaedah tersendiri dalam menyedarkan pengundi tentang muslihat yang cuba dilakukan pakatan pembangkang itu. – WD MY