MUAR, MEI 6:TAKTIK…TaktikĀ  kotor dan propaganda jahat DAP sudah lama dikesan dan dikenalpasti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim, berkata dengan kepantasan maklumat dan kewujudan media sosial muktahir ini menyebabkan tiada perkara yang boleh disembunyikan

Malah, katanya, tembelang berkenaan sudah dihidu lama.

“Contohnya apabila Rafizi (Naib Presiden PKR) kata tugas mereka (pembangkang) memang menghasut (rakyat). Ada banyak kes-kes yang akhirnya terbukti mereka memfitnah, mereka menipu.

“Kalau tengok Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dulu, nampak sangat kenyataan yang dibuat oleh DAP memang menggunakan Melayu untuk memecahkan Melayu.

“Terbaharu di Pulau Pinang, secara terbuka mereka (DAP) mengaku menggunakan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk capai kuasa. Justeru itu, perkara ini (pendedahan) ini saya sangat hormati kerana masih ada orang yang berpegang kepada prinsip seperti Amran Ahmad ini (Penolong Penerbit UbahTV).

“Dia (Amran) tak tergamak melakukan kerja jahat ini kerana dia nampak (akhirnya) kepada kemusnahan,” katanya ketika ditemui NSTP pada Ceramah Perdana Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Selatan, Jalan Junid di sini, malam tadi.

Pada sidang medianya di Kuala Lumpur semalam, Penolong Penerbit UbahTV iaitu laman televisyen atas talian DAP itu mendedahkan parti itu sanggup mencipta puluhan risalah dan rakaman video memfitnah kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Amran yang juga ahli seumur hidup DAP berkata semua bahan propaganda berniat jahat serta berunsur fitnah itu sudah siap dan akan diedarkan secara berperingkat menjelang hari pengundian pada 9 Mei ini.

Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Muar berkata, pihaknya menghargai pendedahan itu cuma perkara itu perlu disampaikan kepada rakyat dengan seberapa segera.

“Tetapi akan ada penafian-penafian (daripada pembangkang) seperti beliau dibayar, dedak dan sebagainya. Ini sudah banyak terjadi termasuk apa yang berlaku kepada Tan Siew Giaw (penyandang Parlimen Kepong dari DAP) membuat kenyataan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) tidak terbabit (dalam isu 1MDB) akhirnya dinafikan hak untuk bertanding (Pilihan Raya Umum Ke-14).

“Beritahu saya apa kurangnya Siew Giaw ini. Saya kenal dia sebagai seorang ahli Parlimen DAP yang paling rasional. Dia tak pernah mempersenda, mengutuk orang. Apabila bercakap benar, akhirnya dia dihukum.

“Dan Amran juga akan mengalami perkara sama termasuk menuduh kita (BN) di belakang pendedahan yang dibuat. Kita kena cepat dan pastikan rakyat benar-benar faham bahawa individu itu tidak ada kena mengena dengan UMNO. Dia buat atas prinsip yang dia pegang sebagai seorang yang pernah terlatih sebagai seorang wartawan,” katanya.-MY WD