BINTULU, 21 Nov – DADAH…. Taktik pengedar dadah menyimpan syabu di dalam bekas gula-gula untuk menyembunyikan kegiatan terbongkar dengan tertangkap seorang lelaki warga asing berusia 26 tahun semalam.

Ketua Polis Bintulu Supt Zulkipli Suhaili berkata suspek ditangkap pukul 7.30 malam semalam di sebuah rumah tidak bernombor di dalam kilang papan di Kemena, Bintulu berikutan maklumat daripada orang awam.

“Pemeriksaan di ruang tamu rumah tersebut menjumpai satu bekas gula-gula yang mengandungi 21 bungkus plastik kecil lutsinar disyaki dadah,” katanya.

Zuklipli berkata dadah tersebut dipercayai jenis syabu dengan berat keseluruhan sebanyak 8.5 gram dan dianggarkan bernilai RM1,000.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tinggal di negara ini tanpa permit sah mengikut Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – WD MY