KOTA BHARU, 20 MAC – BELI…. Setiap 200 biji pil kuda yang dibeli akan disertakan dengan syabu seberat 1 gram secara percuma.

Demikian pakej yang ditawarkan pengedar dadah untuk menarik perhatian pengedar kecil selain meluaskan rangkaian pengedaran bahan terlarang itu.

Modus operandi itu terbongkar dalam serbuan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di Taman Manal Jaya, Tanah Merah, pada jam 11 malam, Isnin lalu.

Dalam operasi itu polis berjaya menahan dua lelaki berusia 34 tahun yang disyaki pengedar dadah dan merampas dadah bernilai RM189,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Kelantan, Superintendan Roslan Yusof Mohamad, berkata terdahulu, anggotanya menahan sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki dua lelaki.

“Berlaku sedikit pergelutan ketika penahanan namun dua suspek berjaya ditangkap dan pemeriksaan lanjut dalam kenderaan menemui tiga bungkusan plastik cerah yang di dalamnya ada bungkusan berwarna putih .

“Dalam setiap bungkusan kertas terdapat lapan paket plastik warna biru dan dua merah jambu bertulis A diikat dengan getah yang mana setiap paket mengandungi 198 biji pil kemerahan dan dua kehijauan disyaki pil kuda.

“Turut ditemui, satu paket plastik cerah berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki syabu seberat 60 gram dan anggaran keseluruhan rampasan dadah bernilai RM189,000,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek menggunakan modus operandi baharu dengan menawarkan 200 biji pil kuda akan disertakan bersama satu paket syabu seberat satu gram yang diberikan secara percuma kepada pengedar dadah.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah namun seorang daripada mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan memiliki satu rekod lampau berkait dadah.

“Kedua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 Mac ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa kepada hukuman mati mandatori,” katanya. – WD MY