JOHOR BAHRU, 26 April – Takziah….. Kerajaan negeri Johor merakamkanĀ ucapan takziah kepada keluarga pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, yang meninggal dunia pada jam 2.05 petang tadi..

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata semangat kanak-kanak berusia 11 tahun itu untuk menghafaz al-Quran dan menjadikan Kitab Suci itu budaya hidup amat terpuji.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri dan seluruh bangsa Johor berdukacita atas pemergian ‘imam cilik’ ini.

“Takziah kepada ibu bapa dan keluarga. Hasrat dan impiannya menjadikan al-Quran sebagai budaya hidup seharian amatlah terpuji dan bersama kita berdoa semoga Allah menempatkan arwah dalam kalangan insan yang bertaqwa dan beriman.

“Kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) juga akan memberikan sumbangan bagi membantu keluarga menghadapi detik sukar ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pagi tadi, pembedahan bagi memotong tangan kanan Mohamad Thaqif ditangguhkan susulan keadaan jantungnya yang tidak stabil.

Jumaat lalu, kedua-dua belah kaki Mohamad Thaqif terpaksa dipotong sejak dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dua minggu lalu selepas mendakwa disebat oleh pembantu warden madrasah tahfiz di Kota Tinggi. – WD MY