BEIJING, 19 April – Bakal Buka Talian Ketenteraan – China memberikan reaksi positif terhadap cadangan penubuhan satu talian ketenteraan dengan India bertujuan menangani isu di sepanjang sempadan yang dipertikaikan kedua-dua negara.

Media kerajaan melaporkan, Menteri Pertahanan, Chang Wanquan memaklumkan perkara itu kepada rakan sejawatnya dari India dalam satu pertemuan di Beijing.

Kedua-dua negara jiran kuasa nuklear itu sudah berusaha meredakan ketegangan sejak sekian lama secara berperingkat antara satu sama lain.

Mei lalu, pemimpin dua negara gergasi Asia itu berikrar untuk meredakan pertikaian sempadan sejak perang sempadan pada 1962, namun banyak tuntutan wilayah bertindih masih belum selesai.

Chang memberikan maklum balas positif terhadap cadangan satu perhubungan ketenteraan dengan India membabitkan keselamatan sempadan, lapor agensi media kerajaan Xinhua, lewat semalam selepas mesyuarat Chang dengan Menteri Pertahanan India, Manohar Parrikar.

Chang turut mencadangkan kedua-dua pihak memperkukuhkan kerjasama pertahanan dan memastikan keamanan dan ketenteraman secara bersama di kawasan sempadan,” menurut laporan itu lagi. – Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY