KUALA LUMPUR, 15 Mac – BUKA…. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam ini merasmikan Taman Rekreasi 99 Wonderland Park di Tasik Sri Murni di Selayang, sebuah mercu tanda rekreasi yang unik dan baharu di ibu kota.

Pada majlis perasmian yang dihadiri lebih 10,000 orang itu, Najib turut melawat taman rekreasi berkeluasan 9.2 hektar yang dinaik taraf dengan kos RM18 juta.

Taman rekreasi itu dibuka secara percuma kepada warga negara Malaysia selama sebulan bermula semalam sehingga 13 April ini.

Antara tarikan di taman rekreasi berkenaan adalah taman burung kasawari dan rusa, rumah arnab, Sky Fountain, Magical Bridge dan T-Rex Ring.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan dan Pengerusi Kumpulan JL99, Datuk Seri BK Lee.

Taman Rekreasi 99 Wonderland Park dibuka bermula dari jam 6 petang hingga 9.30 malam pada Isnin hingga Khamis dan jam 6 petang hingga 10 malam (Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum). – WD MY