KUALA LUMPUR, 21 Okt – Malaysia bersedia menambah aset-aset
ketenteraan serta aset daripada pelbagai agensi berkaitan bagi membantu memadam
kebakaran hutan di Indonesia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perbincangan
telah dibuat dengan agensi-agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan
Penyelamat selain menambah penggunaan aset seperti pesawat Hercules C130 yang
boleh digunakan untuk proses pembenihan awan bagi memadam kebakaran hutan.

“Saya sempat berbincang dengan (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan) Datuk Abdul Rahman Dahlan bagaimana Bomba dan pasukan SMART
mereka boleh membantu kita dan bagaimana kita boleh kerahkan lebih banyak
pesawat Hercules C130 untuk proses pembenihan awan di Indonesia,” katanya kepada
media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata ketika ini, pesawat Bombardier CL 415 milik Agensi
Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang dikerah untuk memadam kebakaran di
Indonesia telah kembali ke negara ini bagi menjalani proses penyelenggaraan.

“Bombardier kembali untuk diselenggara sekejap sahaja kerana di rantau ini
hanya Malaysia sahaja yang ada pesawat ini, kita ada dua tetapi satu lagi sedang
diselenggara. Insya Allah hujung tahun ini kita boleh kerah semula ke
Indonesia,” katanya.

Hishammuddin berkata memandangkan masalah kekurangan aset adalah isu utama yang
dihadapi pasukan keselamatan dalam membantu memadam kebakaran hutan di
Indonesia, Malaysia mencadangkan negara itu meminta bantuan negara luar ASEAN
seperti Jepun untuk turut serta dalam usaha itu.

“Ini bukan saranan kita tetapi Indonesia. Kita boleh memberi cadangan kepada
negara itu, dan pada masa ini mereka sedang mengenal pasti, termasuk Jepun untuk
membantu kita. Sekiranya langkah itu tidak cukup, kita perlu lihat lebih
daripada itu,” katanya. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY