LONDON, 23 Jan – Tambah Baik…… Pihak Kementerian Pendidikan memerlukan cadangan pelbagai pihak termasuk penuntut Malaysia di luar negara untuk menambah baik Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 supaya selaras dengan matlamat dan hala tuju Transformasi Negara (TN50) kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mahdzir berkata generasi muda masa kini, termasuk penuntut yang berada di luar negara perlu menghayati TN50 jika mahu membentuk negara mengikut acuan sendiri.

“Justeru, Kementerian Pendidikan sangat mengalu-alukan pandangan dan cadangan masyarakat dan penuntut Malaysia di luar negara ke arah menambah baik dan meningkatkan kualiti pendidikan negara kita.

“Pandangan anda adalah untuk kebaikan kita bersama, apatah lagi anda semua berada di luar negara dan melihat bagaimana sistem pendidikan di situ.

“Beri kita cadangan untuk menjadikan pendidikan Malaysia seperti di United Kingdom, Jepun dan Korea,” katanya ketika program dialog bersama penuntut dan komuniti Malaysia di Malaysia Hall di sini, malam tadi.

Mahdzir berada di kota raya ini bagi menghadiri Forum Pendidikan Dunia (EWF) yang berlangsung selama tiga hari mulai hari ini.

Lebih 100 penuntut dan warga Malaysia hadir bagi mendengar dan mengambil peluang bertanyakan pelbagai isu semasa dan perkembangan terkini mengenai dasar dan transformasi pendidikan negara.

Mahdzir menjelaskan, PPPM 2013-2025 mempunyai hubung kait dengan usaha kementerian memajukan salah satu Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) 2030 yang dicadangkan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu pendidikan untuk semua.

“Ini bermakna menjelang 2030, semua kanak-kanak mendapat akses kepada perkembangan awal, asuhan dan pendidikan pra sekolah yang berkualiti supaya mereka bersedia untuk pendidikan sekolah rendah, ” katanya.

Beliau berkata, sasaran kementerian ialah semua kanak-kanak mendapat hak pendidikan 100 peratus tetapi pada masa ini masih ada segelintir yang tidak dapat kerana murid berada jauh di pedalaman.

“Sistem pendidikan juga perlu banyak berubah termasuk kualiti guru ditingkatkan. Guru hari ini tidak boleh lagi mengajar semata-mata untuk menghabiskan silibus tetapi turut memberi perhatian kepada masa depan murid, ” katanya. – WD MY