KUALA LUMPUR, 11 April – Tambah Baik…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak agar tidak mempertikaikan usaha untuk menambah baik sistem perundangan bagi memartabatkan agama Islam.
Ahmad Zahid berkata rakyat negara ini perlu menghormati Islam sebagai agama persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Kita amat sedih jika ada pihak yang mempertikaikan soal usaha itu dan orang
serta kumpulan itu pula yang tidak satu akidah dengan kita. Kita tidak berhasrat
menyentuh soal agama lain…anda dengan agama anda dan saya dengan agama saya.

“Tolong hormat agama saya jika anda mahu saya hormat agama anda,” katanya semasa merasmikan Konvensyen Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab 2017 malam tadi.

Hadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Sementara MARA Datuk Dr Yusof Yacob dan Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad.

Ahmad Zahid berkata sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan agama, masyarakat bebas mengamalkan agama mereka, namun perlu sentiasa bertoleransi dan mengutamakan nilai-nilai murni seperti yang dituntut dalam setiap agama.

Menyentuh program Ulul Albab yang dilaksanakan sejak lapan tahun lepas, Ahmad Zahid berkata ia salah satu model baharu pembinaan generasi TN50 akan datang, yang terdiri daripada golongan korporat dan teknokrat dalam kalangan mereka yang hafaz al-Quran.
Ia juga selaras dengan sasaran TN50 untuk melahirkan 125,000 huffaz menjelang 2050, katanya.
Beliau berkata pendidikan berteraskan Quranik iaitu golongan yang memahami dan menghayati al-Quran akan melahirkan individu berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang, yang mampu mengeluarkan pandangan untuk menyelesaikan masalah.
Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menambah lima lagi MRSM Ulul Albab di Sabah, Perak, Kelantan, Pahang dan Kedah berbanding hanya empat ketika ini. – WD MY