PULAU PINANG, 26 JUN – Maut…. Empat pekerja warga Myanmar dipercayai maut setelah tertimbus tanah runtuh di sebuah tapak pembinaan di Jalan Tanjung Bungah dekat George Town, Pulau Pinang malam ini.

Menurut exco Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, pasukan mencari dan menyelamat menemui mangsa pertama pada kira-kira jam 11.18 malam.

Beliau berkata empat yang dikhuatiri maut itu adalah pekerja yang diupah oleh hotel berdekatan untuk membina sebuah tembok konkrit.

Zairil yang berada di lokasi kejadian berkata tumpuan kini adalah menjalankan operasi mencari dan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa.

“Pemilik hotel itu berkata, dia mengupah empat pekerja untuk membina tembok dan ia runtuh.

“Kita sedang melakukan semua yang kita boleh untuk mencari mangsa sekarang,” kata Zairil.

Zairil berkata, kerja-kerja mencari dan menyelamat itu dijangka akan selesai pada malam ini.

Ketika dihubungi, exco alam sekitar Phee Boon Poh berkata kesemua jabatan berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan, polis dan pasukan perubatan berada di lokasi kejadian bagi membantu pasukan mencari dan menyelamat.

“Oleh kerana operasi ini kita perlu mengawal lalu lintas dan pada masa ini hanya satu lorong dibuka untuk kenderaan melaluinya. Jadi kita berharap pemandu dapat bersabar,” kata Phee.

Sementara itu Pengarah Bomba Pulau Pinang Saadon Mokhtar dipetik Bernama berkata operasi mencari dan menyelamat diaktifkan jabatan itu dengan penglibatan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Beliau berkata, laporan berhubung insiden itu diterima kira-kira jam 9.25 malam.

“Setakat ini kita sudah menemui lokasi mayat-mayat di bawah timbunan tanah kira-kira 15 kaki dalam dan usaha mengeluarkan mereka sedang dilakukan,” katanya kepada Bernama.

Ini bukan kali pertama kejadian tanah runtuh mengejutkan penduduk Pulau Pinang sehingga mereka menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat.

Tahun lepas, sembilan warga asing maut ekoran kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus di Paya Terubong.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan kontraktor projek itu dipertanggungjawabkan atas kejadian berkenaan.

Pada tahun 2017, seramai 11 pekerja termasuk seorang penyelia warga Malaysia, tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah tapak pembinaan perumahan di Tanjung Bungah. – WD MY