PADANG TERAP, 26 Nov – TANGGUH… Pelaksanaan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMG2) selaku instrumen penilaian kendiri untuk memantau pencapaian serta perkembangan sekolah di seluruh negara, ditangguhkan sehingga dimaklumkan tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, melalui laman Facebook rasmi beliau.

“Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMG2) ditangguhkan buat masa ini sehingga dimaklumkan tahun hadapan.

“Kementerian Pendidikan akan memberi perincian penangguhannya kelak. Harap maklum,” katanya melalui status yang dimuat naik.

Status itu dikongsi 465 pengguna Facebook dan mendapat 165 komen dalam tempoh hanya 20 minit. Rata-ratanya memberi komen menghargai keputusan itu.

Mahdzir melalui ruangan komen mengesahkan sudah berhubung dengan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dan melalui perbincangan terbabit, mereka bersetuju untuk menangguhkan SKPMG2 berikutan ada beberapa isu yang perlu diselesaikan.

“Selepas ia diselesaikan, ia akan diumum semula dengan beberapa pembaharuan dilakukan,” katanya.

SKPMG2 dikeluarkan pada 13 September 2016 oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti sebagai piawai bagi menentukan tahap pencapaian kualiti pendidikan.

Ia mencakupi beberapa bidang seperti kepemimpinan, pengurusan organisasi, pengurusan kurikulum, kokurikulum dan hal ehwal murid, pembelajaran dan pemudahcaraan serta kemenjadian murid.

Ia adalah penggubalan semula SKPM 2010 dengan beberapa penambahbaikan, hasil daripada beberapa siri kajian dan mesyuarat.

Penambahbaikan itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan juga menyesuaikan SKPM dengan perkembangan pendidikan semasa. – WD MY