PUTRAJAYA, 4 Mei – Tangkapan…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tangkapan kedua-dua lelaki warga Turki kerana dipercayai terbabit aktiviti mengancam keselamatan negara dibuat selepas polis memperoleh maklumat melalui Pusat Digital Serantau Memintas Komunikasi (CMC).

Menurut beliau, penahanan itu bukan satu tuduhan kerana ia adalah hasil dapatan polis melalui operasi yang dijalankan.

“Jika benar keprihatinan isteri kedua-dua individu itu bahawa (suami) mereka tidak terbabit, polis akan melepaskan mereka.

“Bagaimanapun, kita harus menghormati maklumat yang diperoleh pihak polis dan mereka sudah menjejaki beberapa komunikasi yang dilakukan,” katanya.

Ahmad Zahid ditemui media selepas Majlis Penutup Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 – Fiqh Wala’ dan Taat: Peranannya Dalam Mensejahterakan Negara di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan polis tidak akan menzalimi mana-mana pihak.

Dua lelaki warga Turki yang pada mulanya didakwa oleh isteri mereka diculik, namun disahkan oleh polis ditangkap kerana mengancam keselamatan negara.

Lelaki berkenaan, Turgay Karaman, 43 dan Ihsan Aslan, 37, kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 130 Kanun Keseksaan. – WD MY