KUALA LUMPUR, 29 Jun – Usaha berterusan bagi menangkis pelbagai
ancaman dan serangan siber sentiasa dipertingkat dengan mengukuhkan
kesiapsiagaan Prasarana Maklumat Kritikal Negara (CNII), persidangan Dewan
Negara diberitahu hari ini.

Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad
Diah, Dasar Keselamatan Siber Negara telah digubal untuk memperkasakan
keselamatan infrastruktur CNII yang memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi,
kesejahteraan sosial dan kestabilan negara.

Persekitaran siber yang selamat akan merancakkan lagi aktiviti perniagaan
serta boleh menarik pelaburan ke Malaysia,” katanya ketika menjawab soalan
Senator Datuk Jamilah Sulaiman.

Jamilah meminta kerajaan menyatakan sejauh mana CNII berupaya menangkis
serangan siber bagi melindungi maklumat penting negara.

Katanya, CyberSecurity Malaysia juga sentiasa bekerjasama dengan Majlis
Keselamatan Negara (MKN) dan CNII untuk menangani insiden serangan siber.

“Kerajaan juga telah mengeluarkan Arahan MKN 24 iaitu Mekanisme Pengurusan
Krisis Siber Negara bertujuan untuk mengurus krisis siber meliputi peringkat
sebelum, semasa dan selepas insiden.
“Ia juga bertujuan mencapai satu pendekatan seragam dan proaktif bagi
memantau dan menangani ancaman siber secara berkesan dan menetapkan garis
panduan untuk agensi kritikal membuat persiapan daripada pelbagai aspek dalam
menghadapi sebarang ancaman dan serangan siber,” kata Abu Bakar.

Katanya, Arahan MKN 24 disokong oleh Peraturan Tetap Operasi yang
memperincikan setiap proses utama, carta aliran pengendalian insiden dan
langkah yang perlu dilaksanakan oleh semua pihak terlibat dalam pengurusan
krisis siber negara.

Sementara itu, Abu Bakar memberitahu kementerian menerusi CyberSecurity juga
telah membangun dan sedang meningkatkan keupayaan Pusat Penyelidikan Malware
yang dikendalikan pakar malware.

Pusat itu mengumpul dan menganalisis pelbagai malware yang masuk ke negara ini
agar satu sistem penyelesaian yang efektif dapat dihasilkan untuk menangani isu malware
di negara ini. -Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY