KUALA LUMPUR,OKTOBER 5:TANYA… “Saya rasa lebih baik tanya Lim Teong Kim sendiri.”

Itu jawapan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai ketiadaan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu pada dua sesi dialog Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), semalam.

Teong Kim tidak kelihatan pada sesi petang bersama jurulatih NFDP dan juga pada sesi malam tadi bersama penyokong bola sepak tanah air di Majlis Sukan Negara (MSN).

Pada pagi semal, Syed Saddiq mengadakan pertemuan dengan Teong Kim bagi membincangkan beberapa isu terutama mengenai masa depan NFDP.

Ketika ditanya adakah Teong Kim tidak berpuas hati dengan pertemuan ‘empat mata’ itu menyebabkan beliau tidak hadir pada sesi dialog, Syed Saddiq berkata: “Alhamdulillah setakat ini semuanya bagus.

“Kalau ada apa-apa pasti beliau (Teong Kim) sudah maklumkan kepada rakan media. Tapi saya rasa perjumpaan pagi tadi baik dan selepas itu saya jumpa dengan semua jurulatih.”

Mengenai masa depan Teong Kim dan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif NFDP, Safirul Azli Abu Bakar pula, Syed Saddiq menjelaskan perkara itu akan diputuskan menerusi satu jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan.

“Apa yang saya boleh katakan semua perkara berkaitan penstrukturan kita tunggu masa jawatankuasa ditubuhkan. Kita tunggu jawapan daripada jawatankuasa itu nanti.

“Beliau (Safirul) ada bagi surat peletakan jawatan tapi ia juga akan diputuskan oleh jawatankuasa. Saya nak pastikan suara semua pihak termasuk ibu bapa dan penyokong dapat didengari,” katanya.

Pada sesi dialog bersama penyokong, Syed Saddiq menjelaskan jawatankuasa itu akan turut diwakili ibu bapa pemain di bawah NFDP selain pemegang taruh dan penaja.-MY WD