KUALA LUMPUR, 10 Sept – Khairy Jamaluddin hari ini hadir ke program bual bicara #TanyaGomen.

Beliau menerangkan dasar Kementerian Belia Dan Sukan dan masa depan sukan negara di dalam forum anjuran Program Transfomasi Ekonomi.

Menurut Menteri Belia dan Sukan itu meminta persatuan terutama di peringkat negeri bertindak lebih proaktif dalam membantu membangunkan bakat pelapis sukan negara.

Khairy berkata sejak kerajaan mengambil alih pembangunan sukan, banyak persatuan bersikap lepas tangan dan hanya bergantung kepada usaha kerajaan dalam aspek berkenaan.

“Berbeza dengan dulu, kebanyakan bakat hebat sukan lahir dari negeri, tetapi kini peruntukan (untuk persatuan) hanya tertumpu untuk bayaran gaji sahaja, tidak untuk pembangunan sukan,” katanya.

Justeru katanya, persatuan sukan perlu bersama dengan kerajaan dalam misi mencari atlet pelapis tanah air terutama dalam sukan bola sepak, badminton dan skuasy.

Dalam pada itu, Khairy juga mengalu-alukan persatuan belia di seluruh peringkat untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi tujuan berkenaan.

“Jika mereka tidak rasa terbeban, saya terbuka untuk menerimanya,” katanya.

Menjawab satu soalan mengenai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Khairy menegaskan beliau tidak mempunyai kuasa merombak FAM.

Khairy berkata sebagai menteri, beliau hanya boleh menegur bagi membantu persatuan ditadbir dengan lebih baik.

“Ramai datang pada saya minta saya rombak FAM, cadangkan saya jadi presiden…sebagai Menteri, saya tidak ada kuasa melantik presiden kerana ia dilantik anggota gabungannya,” katanya.

Dalam rancangan itu juga, Khairy mengumumkan kriket bakal disenaraikan sebagai antara acara Sukan SEA ke-29 yang akan berlangsung di Malaysia pada 2017.-Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY