SHAH ALAM, 13 Mac – Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
berkata tindakan kerajaan Selangor membatalkan perjanjian penstrukturan industri air
dengan Putrajaya akan menyebabkan syarikat konsesi menaikkan tarif air sebanyak
52 peratus tahun ini seperti yang dibenarkan dalam Perjanjian Penswastaan.

Menurut beliau, tindakan itu juga akan menutup peluang kerajaan negeri
mengambil alih ekuiti empat syarikat konsesi air yang selama ini telah mengaut
keuntungan tidak munasabah atas kesusahan rakyat yang menanggung tarif air
tinggi.

Tambahnya, keadaan akan menjadi lebih buruk apabila kerajaan negeri pula
perlu membayar tunggakan kenaikan tarif air sebanyak RM2 bilion kepada
syarikat-syarikat konsesi itu mengikut perjanjian penswastaan yang
disifatkan sebagai berat sebelah itu.

“Tanpa kawalan sepenuhnya terhadap industri air, kerajaan Selangor
kemungkinan besar tidak mampu meneruskan pemberian air percuma 20 meter padu air
setiap bulan yang dilaksanakan sejak Jun 2008 kerana kekurangan dana.

“Ini jelas menunjukkan kerajaan Selangor akan mengalami kerugian besar
sekiranya tidak meneruskan rundingan tersebut dan saya amat berharap kepimpinan
kerajaan negeri mengutamakan kepentingan rakyat dalam setiap tindakan dan
keputusan yang akan dilakukan selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Khalid berkata tindakan kerajaan negeri mengeluarkan lesen operasi air
bersih kepada Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash) juga dilihat
bercanggah dengan usaha untuk menjadikan rakyat Selangor sebagai pemilik mutlak
industri air apabila penstrukturan itu dimuktamadkan.

Menyifatkan pengambilalihan ekuiti empat konsesi air sepatutnya tidak
melebihi RM9.65 bilion seperti dipersetujui sebelum ini, Abdul Khalid berkata
langkah yang dibuat kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali itu
akan mengakibatkan rakyat Selangor terpaksa membayar lebih daripada jumlah
tersebut.

Katanya langkah itu juga dilihat seolah-olah merompak hasil kekayaan rakyat
Selangor malah terus mengkayakan syarikat konsesi jika harga yang
ditawarkan melebihi jumlah itu.

Menurut anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu lagi, isu
pemilikan tanah yang kononnya dinyatakan sebagai alasan kerajaan Selangor
membatalkan perjanjian air dilihat boleh diselesaikan, jika semua pertikaian itu
dibawa ke meja rundingan.

Katanya Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus
Ongkili dalam satu pertemuan dengannya Rabu lepas memberi jaminan akan berusaha
melaksanakan perjanjian itu bagi memberi laluan kepada penyelesaian isu air
secara holistik seperti yang dihasratkan melalui Akta Industri Perkhidmatan Air
2006

“Bagi pihak rakyat Selangor, saya menyeru kerajaan persekutuan dan kerajaan
negeri dapat menyelesaikan sebarang pertikaian bagi memastikan Perjanjian Utama
(HOA) penyusunan semula industri air Selangor yang telah ditandatangani pada
tahun lalu dapat diteruskan,” kata Abdul Khalid.-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY