KUALA LUMPUR, JULAI 28: TARIF….Menteri Air, Tanah dan Sumber asli Dr Xavier Jayakumar menjangkakan tarif air di Selangor dan Kuala Lumpur akan meningkat selepas penstrukturan semula air bulan depan.

Menurutnya langkah itu diambil bagi menampung kos syarikat air Selangor membayar syarikat kerajaan pusat.

“Tarif sekarang sangat rendah. Ia kadar 20 tahun lalu. Namun kita tidak bercakap kenaikan 100 peratus,” katanya.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) perlu membayar sejumlah besar kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), syarikat bawah Kementerian Kewangan, bagi mengambil alih pemilik konsesi Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash).

Namun semalam Dr Xavier, bekas exco negeri, menafikan Selangor akan membayar sejumlah RM1.9 bilion bagi menguasai Splash

Sementara itu, Perak mengkaji semula pemberian diskaun sebanyak 10 peratus bil air kepada semua pengguna domestik di Perak setelah mengambil kira pandangan orang ramai.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan sebelum ini mengumumkan 10 peratus diskaun bagi bil air, namun kemudahan itu kini diberi hanya untuk 20 meter padu pertama atau 20,000 liter air bersih.

Beliau berkata ramai berpandangan bahawa diskaun 10 peratus untuk bil tidak seharusnya diberikan kepada pengguna kerana ia menggalakkan mereka melakukan pembaziran dalam penggunaan air.

Jualan air juga menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak RM170.80 juta sehingga 30 Jun, 2018 berbanding RM164.62 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Sepanjang 10 tahun pelaksanaan bantuan susbidi air untuk rakyat miskin di Perak, LAP membelanjakan RM9.6 juta sehingga 17 Julai, 2018 yang mana subsidi ini melibatkan 11,544 keluarga,” katanya.- MY WD