SYDNEY, 31 Mac – Tenggelam…. Keadaan bandar utama dengan lebih 25,000 penduduk di timur laut Australia dilanda banjir susulan ribut yang dicetus taufan sejak tiga hari lalu, membawa hujan lebat ke kawasan pantai.

Ribut kategori empat, taufan Debbie, membadai utara Queensland tropika Selasa lalu dan meranapkan pusat pelancongan, menumbangkan tiang elektrik, memusnahkan ladang tebu serta menutup lombong arang batu.

Pihak berkuasa hari ini mengarahkan hampir 20,000 orang untuk berpindah ke kawasan tinggi berikutan hujan lebat di kawasan pedalaman dan pantai kedua-dua ibu negeri Queensland dan Brisbane.

Ia berikutan limpahan sungai yang mencatat paras yang tinggi di seluruh rantau ini.

“Banyak insiden termasuk mangsa terperangkap di atas bumbung, dalam van dan ia adalah bencana besar,” kata Pengawal Perkhidmatan Kecemasan Negeri New South Wales, Ian Leckie.

Tiada kematian dilaporkan setakat ini, tetapi pihak berkuasa bimbang akan ada kematian selepas lebih 100 kerja menyelamat dilaporkan sepanjang malam.

Angin kencang dan ombak besar masih membadai kawasan pantai sekitar Cape Byron. – WD MY