SYDNEY, 21 Feb – Agensi media antarabangsa melaporkan bahawa lima terbunuh dan harta benda musnah selepas antara taufan terkuat pernah direkodkan di selatan hemisfera membadai negara di Kepulauan Pasifik, Fiji semalam.

Laporan kemusnahan akibat Siklon Winston masih diterima dari sekitar pedalaman negara yang terdiri daripada 300 pulau itu lewat semalam, membawa angin 230 kilometer sejam (km/j) hingga 325 km/j.

Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama yang mengesahkan angka kematian itu, berkata pegawainya sedang berusaha secepat mungkin untuk menilai dan menangani kerosakan di kawasan maritim itu.

Katanya, beberapa jam dilanda angin kencang dan hujan lebat, kediaman rosak, bekalan elektrik, air dan talian komunikasi terputus di seluruh negara yang mempunyai hampir 900,000 penduduk itu.

Namun, ibu negara Suva dilaporkan terselamat selepas ribut bertukar arah di saat akhir.

Orang ramai membanjiri 758 pusat pemindahan sejak semalam, manakala pelancong berlindung di dewan dan bilik persidangan hotel sekitar kawasan pantai.

Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, pasukan tindakan kecemasan sudah bersiap sedia, tetapi belum ada permintaan dari Bainimarama.

Syarikat penerbangan Virgin Airlines dan Jetstar semalam menggantung penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Fiji, termasuk syarikat penerbangan rasmi yang menggantung semua penerbangan. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY