PORT DICKSON, FEB 27 – TAWAN…Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan perlu bekerja lebih kuat dan untuk mengembalikan kawasan Parlimen Telok Kemang yang dikuasai PKR sejak dua penggal lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sudah sampai masanya pengundi di kawasan Parlimen Telok Kemang membuat perubahan dan memberi peluang kepada BN untuk mentadbir.

“Bukan sahaja di kawasan Parlimen Telok Kemang (kita mahu menang), tetapi tiga lagi DUN (Dewan Undangan Negeri dalam kawasan parlimen itu) yang kita mahu menang. Daripada lima, kita telah ada dua (DUN) dan kita nak tiga lagi,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), dalam pertandingan tiga penjuru, BN yang diwakili Ketua Penerangan MIC Kebangsaan Datuk V.S Mogan dan calon bebas Kamarudin Kumaravel Abdullah kalah kepada calon PKR Datuk Kamarul Baharin Abbas dengan majoriti 1,579 undi.

Kawasan Parlimen Telok Kemang yang mempunyai lima kerusi DUN dengan Bagan Pinang dan Linggi dikuasai BN manakala baki Chuah dan Port Dickson disandang PKR dan Lukut oleh DAP. – MY WD