SHAH ALAM, 10 Jan – TEBAS….. Sebanyak empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergabung membentuk #Tebas2018, khusus untuk membanteras gejala sosial di seluruh negara.

Pengerusi #Tebas2018, Datuk Khairul Khuzaini Zamsani, berkata tumpuan gabungan berkenaan adalah untuk membanteras ceti haram, pendatang asing tanpa izin dan pusat judi serta rumah urut.

“Gabungan Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS), Pertubuhan Gagasan Pembela dan Pelindung Kebajikan Ummah Malaysia, Kesatuan Melayu Nasional (KMN333) dan Majlis Bendahara Malaysia berasa bertanggungjawab untuk turut sama membanteras jenayah serta gejala yang tidak sihat ini.

“Kami akan kenal pasti kawasan yang menjadi lokasi kegiatan haram berkenaan dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media pelancaran #Tebas2018, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia, Datuk Abdul Halim Ali.

Khairul Khuzaini berkata, gabungan berkenaan tidak mewakili mana-mana fahaman politik dan mengharapkan pihak berkuasa akan turut sama memberikan kerjasama yang baik untuk mengekang gejala tidak sihat berkenaan.

“Sebagai permulaan, kita akan memberi lebih tumpuan kepada kebanjiran pendatang asing di negara ini.

“Mereka kini menjadi tuan atau pemilik premis perniagaan di sesetengah tempat, manakala orang tempatan pula berniaga di kaki lima.

“Kebanjiran warga asing terutamanya tanpa dokumen perjalanan yang sah perlu dikawal dan serbuan akan dilakukan di beberapa tempat dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, Selangor dan Lembah Klang akan menjadi antara lokasi awal serbuan sebelum dikembangkan ke lokasi lain.

NGO lain serta masyarakat juga digalakkan untuk turut berganding bahu dengan menyalurkan maklumat kepada pihaknya supaya tindakan seterusnya boleh diambil.

“Kami juga dalam perbincangan untuk menyediakan tiga talian hotline untuk memudahkan orang ramai menghubungi kami jika mempunyai maklumat.

“Kita akan umumkan talian ini dalam masa terdekat,” katanya. – WD MY