BAGAN DATUK, 22 April – EKONOMI….. Bagan Datuk bakal memiliki sebuah mercu tanda baharu apabila sebuah resort akan dibina dan siap menjelang 2020, sekaligus memacu ekonomi dan mengangkat destinasi pelancongan daerah tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Bagan Datuk akan dijadikan sebagai sebuah daerah termaju di Perak bagi membalas perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang telah mengisytiharkan Bagan Datuk sebagai daerah ke-12 pada Januari 2017.

Menurutnya pembinaan Teedo Resort berhampiran Pekan Bagan Datuk itu dengan kos kira-kira RM75 juta, tidak menggunakan wang kerajaan sebaliknya dibiayai syarikat swasta iaitu Yayasan Al-Falah dan akan dikendalikan oleh Nour Hotel & Resorts.

“Untuk makluman semua, tidak ada satu sen pun pembinaan hotel ini menggunakan wang kerajaan, malah tanah dan infrastruktur pembinaannya juga dibiayai 100 peratus pihak swasta.

“Apabila pihak swasta terlibat dalam pembinaan serta pengurusan hotel ini dengan beberapa premis komersial yang akan dibina, ia adalah selari untuk menjadikan Bagan Datuk sebuah destinasi pelancongan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Teedo Resort yang turut dihadiri isterinya Datin Seri Hamidah Khamis dan anaknya Datuk Nurulhidayah yang merupakan Pengarah Urusan Nour Hotel & Resorts.

Difahamkan bersebelahan resort itu akan menempatkan zon komersial iaitu pusat beli belah, restoran, sebuah taman tema tertutup serta Maahad Tahfiz Al-Ridzuan, dengan nilai kasar pembangunan keseluruhan kira-kira RM250 juta membabitkan kawasan seluas 60 hektar.

Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk berkata, pelaburan awam perlu diadunkan dengan pelaburan swasta bagi membangunkan sesuatu kawasan, sekali gus menyokong dan memacu pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan.

“Ini bukan hanya bertujuan membangunkan ekonomi Bagan Datuk malah untuk menggamit semula anak-anak Bagan Datuk yang terpaksa mencari rezeki di luar (supaya) pulang ke Bagan Datuk (dan) bekerja di sini.

Jadi saya menyeru anak-anak Bagan Datuk khususnya yang merantau pulanglah, tolong mak bapa, tolong kampung dan tolong bangunkan kawasan Bagan Datuk yang sedang membangun ini,” katanya. – WD MY