SEREMBAN, 1 Ogos – Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata sebagai pemimpin utama parti, beliau boleh menerima teguran dan kritikan
yang dibuat oleh anggota parti terhadapnya.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata kritikan dan teguran itu mestilah
dibuat dengan cara dan di tempat yang wajar kerana jika dilakukan di tempat yang
tidak sepatutnya, ia boleh merosakkan parti.

“Kalau kita duduk semeja, kita bincang. Jika tidak cukup maklumat, cari
maklumat. Kalau kita ada bercanggah pendapat pun tak apa, bertengkar pun tak
apa, jangan sampai baling kerusi sahaja.

“Setakat tumbuk meja pun tak apa, sesama kita dalam bilik, tetapi bila kita
di luar, kita orang parti yang setia kepada parti kita,” katanya semasa berucap
merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban, di Paroi di sini, hari
ini.

Beliau berkata apabila sesuatu keputusan telah dibuat, semua anggota parti
mesti menunjukkan perpaduan dan mempertahankan keputusan itu.

Najib berkata walaupun mempunyai perbezaan pendapat, anggota UMNO perlu
menunjukkan bahawa parti itu terus bersatu terutama dalam memastikan parti itu
dapat mengekalkan kedudukan dan memenangi pilihan raya umum akan datang.

“Sebab itu, pada saya kita mesti berusaha supaya parti kita ini teguh. Teguh
kerana apa, kerana kita bersatu, setia, disiplin, komited, barulah parti kita
teguh dan mencapai kejayaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai pelbagai laporan dalam
Sarawak Report yang mana laporan itu seperti menggambarkan mereka cuba
menentukan siapa yang harus memimpin negara ini.

Dalam hal ini, Najib menegaskan beliau tidak akan tunduk terhadap desakan
atau kritikan oleh mana-mana pihak luar mengenai kepimpinan negara.

“Saya pantang dalam hal ini, saya tidak boleh terima jika orang luar cuba
menentukan kepimpinan negara kita. Kalau saya tidak betul biar ahli parti yang
menegur saya, saya boleh terima.

“Tapi kalau orang luar, orang putih luar, orang asing luar nak tentukan
siapa yang patut memimpin negara, saya tidak akan terima dan ahli parti tidak
akan terima. Apa hak mereka (orang luar)? Kita mesti bersatu dalam hal ini,”
katanya.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY