KUALA LUMPUR, 13 Nov – Berubah Menggunakan Teknologi…….. Perdana Menteri meminta pemain industri kraf dan kreatif tempatan perlu berani berubah menggunakan teknologi untuk mencapai lonjakan pertumbuhan dan mengembangkan pasaran ke peringkat global.

Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau melihat industri kraf dan kreatif negara adalah satu bidang yang boleh mencapai lonjakan pertumbuhan berganda.

Katanya, jika mahu peningkatan pertumbuhan tiga, empat peratus, ia boleh dicari di dalam bidang perindustrian tetapi jika digabungkan dengan kreativiti, maka boleh mencapai lonjakan (pertumbuhan) 10,20,30 mungkin 50 peratus.

“Apatah lagi jika kita cantumkan dengan e-dagang dan perniagaan dalam talian yang juga adalah kaedah masa depan dalam dunia perniagaan.

“Kelmarin, di China sempena ‘single day’, syarikat Ali Baba berjaya catat jualan AS$13 bilion (RM57.3 bilion) dalam tempoh 12 jam sahaja, maknanya inilah masa depan perniagaan.

“Saya tidak mahu kita kekal di pemikiran takuk lama, kita mesti melihat bagaimana kita boleh membawa dunia tradisional ini menggunakan teknologi baharu. Kita gunakan pemikiran dan kreativiti, gunakan platform baharu dan kita mesti menyepadukan dengan rantaian bekalan global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Wanita Kreatif Fest 2016 (WKF2016) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Festival selama tiga hari bermula Jumaat lalu dikunjungi lebih 20,000 pengunjung dan antara program yang diadakan ialah pameran jualan, sesi bicara niaga, pameran kerjaya, acara pentas, lelongan amal, padanan perniagaan dan persembahan kebudayaan.

Hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abd Jalil.

WKF2016 yang julung kali diadakan adalah anjuran Sekretariat Pembangunan Ekonomi dan Usahawan Pergerakan Wanita UMNO. – WD MY