PUTRAJAYA, 1 MEI – TIDAK PEKAK…. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menolak dakwaan beliau tidak mengambil perhatian mengenai bantahan yang dibangkitkan kumpulan masyarakat terhadap loji pelupusan sampah.

“Tak betul kata saya tidak mendengar (aduan mereka). Telinga saya tidak pekak,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan NGO komuniti tempatan, Kuala Lumpur Taknak Insinerator (KTI) yang tidak gembira Zuraida dan para pegawainya tidak membalas undangan mereka untuk hadir forum dan dialog awam mengenai loji pelupusan tersebut yang diadakan pada 6 April lalu.

Forum itu dirancang selepas Zuraida mengumumkan kerajaan sedang mengusahakan inisiatif menukar sampah menjadi tenaga (WTE) yang mana tapak pembuangan sampah akan ditukar menjadi loji insinerator.

Katanya, kerajaan telah memutuskan untuk tidak membina projek WTE atau loji insinerator di tapak pembungan sampah Taman Beringin selepas bertemu NGO berkenaan beberapa kali.

“Mereka datang bertemu saya. (Kata saya) tak ada masalah, saya tidak akan buat di Taman Beringin,” katanya kepada media pada wawancara.

Program kitar semula

Sementara mengakui KTI mencadangkan projek kitar semula di Taman Beringin, beliau juga berkata program kitar semula akan dibuat kemudian tetapi kerajaan sekarang sedang mengutamakan pembersihan sampah di seluruh negara.

Naib presiden PKR itu juga berkata telah mengundang kumpulan berkenaan menyertai usaha kerajaan dalam program kitar semula.

Kerajaan perlu meneroka pilihan dalam melaksanakan WTE di Serendah selepas membatalkan rancangan membina loji WTE di Taman Beringin, jelasnya lagi.

Zuraida dilaporkan berkata setiap negeri akan memiliki satu loji WTE dan loji pertama WTE di tapak pelupusan sampah di Tanah Merah, Negeri Sembilan yang dijangka beroperasi pada Jun.

Selain Tanah Merah, beliau berkata projek WTE juga melibatkan tapak pelupusan sampah Bukit Payong dan Seelong di Johor, Jabi dan Samling di Kedah serta Bukit Tagar di Selangor.

“Saya fikir orang ramai lebih terdedah dan memahami teknologi semakin maju sekarang. (Mereka) tidak lagi risau sebagaimana apada masa lalu.

“Orang ramai perlu belajar untuk menjadi lebih terbuka mengenainya supaya negara boleh maju dengan membersihkan semua sampah itu,” katanya sambil menjelaskan loji WTE di lain-lain tempat di dunia di bina di tengah-tengah bandar atau kawasan perumahan.

Zuraida juga mengeluh, berkata terdapat salah faham di kalangan orang ramai mendakwa berlaku rasuah dalam kelulusan permit mengimport plastik.

“Kamu perlu faham ada 26 jenis plastik yang telah diimport ke negara ini, di mana hanya satu daripadanya (Kod Plastik HS 3915) yang dikendalikan oleh kementerian.

“Kami mengendalikan kod plastik tertentu ini, kami memeriksa semua plastik yang masuk ke negara ini.

“Terdapat hanya 54 kilang yang tersenarai di bawah Kod HS 3915, kilang-kilang lain adalah haram,” katanya.

Menurut Zuraida selepas menyedari undang-undang berkaitan gagal mencegah kerana cuma mengenakan denda sebanyak RM300 terhadap pengendali kilang haram, MP Ampang berkata kerajaan bercadang meminda peraturan untuk meningkatkan denda kepada RM500,000. – WD MY