SITIAWAN,JUN 2:TEMBAK…. Seorang lelaki dipercayai menembak diri sendiri selepas menembak rakannya dengan senapang patah dalam kejadian berhampiran sebuah restoran di Kampung Koh, di sini lewat malam tadi.

Beberapa rakaman video dan gambar ngeri kejadian itu tersebar di media sosial sejak tengah malam tadi.

Kes berkenaan, yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 11 malam tadi, mengakibatkan kedua-dua lelaki yang terbabit dalam kejadian itu maut.

Berdasarkan rakaman video yang viral, dilihat seorang lelaki menembak dipercayai empat das menggunakan senapang patah terhadap seorang mangsa yang terbaring atas jalan dan mengambil sepucuk pistol daripada poket seluar mangsa.

Mangsa berusia 66 tahun ditembak di bahagian kaki serta tangan sebelum lelaki yang menembak itu beredar dan kemudian dilaporkan ditemui mati, dipercayai menembak diri sendiri di bahagian kepala dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian.

Mangsa berusia 66 tahun ditembak di bahagian kaki serta tangan sebelum lelaki yang menembak itu beredar dan kemudian dilaporkan ditemui mati, dipercayai menembak diri sendiri di bahagian kepala dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian.

Lelaki berusia 62 tahun itu ditemui mati di tempat duduk pemandu bersama sepucuk pistol dan senapang patah yang digunakan untuk menembak mangsa.

Sementara itu, polis dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook (FB) Polis Daerah Manjung, melaporkan, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman, mengesahkan kejadian dan menggesa orang ramai supaya memadam rakaman video serta gambar mangsa yang sudah dikongsi di FB.

“Penyebaran video dan gambar itu dalam FB dan aplikasi WhatsApp akan mengundang gangguan emosi kepada pihak tertentu terutama keluarga mangsa selain mendatangkan rasa takut serta kebimbangan kepada orang awam dan mengganggu siasatan pihak polis terhadap kes ini,” menurut kenyataan itu.

Kejadian pada lewat malam tadi itu menarik perhatian seluruh masyarakat setempat, malah ada segelintir yang tidak bertanggungjawab dengan cepat menyebarkan gambar dan video mangsa insiden berkenaan.-MY WD