PUTRAJAYA, 8 Feb – TEMPLAT….. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata┬áBarisan Nasional (BN) bercadang menggunakan sebahagian daripada templat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 2016, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sarawak mempunyai templat kempen pilihan raya yang sangat kemas dan BN akan menggunakannya dalam struktur operasi pilihan raya BN di seluruh negara.

“Ini templat yang sudah terbukti. BN Sarawak di bawah kepemimpinan Ketua Menteri ketika itu, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, mempunyai dua bilik gerakan pilihan raya iaitu di pejabat dan di rumah peribadinya, yang berfungsi untuk mengemas kini semua maklumat yang diterima berdasarkan masa sebenar.

“Pada mulanya, daripada keseluruhan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri, BN sangat yakin untuk dapat 60 kerusi ketika itu. Tetapi, kami bekerja keras dua tiga kali ganda dan bekerjasama rapat untuk melihat operasi secara lengkap sehinggalah di malam ketiga sebelum pengundian, dijangkakan kita akan dapat 68 kerusi.

“Pada malam terakhir, kita amat yakin dapat 70 kerusi dan selepas operasi kempen berakhir, kita yakin dapat 72 kerusi. Apabila keputusan diumumkan, memang 72 kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri dengan 15 ahli Kuching Division Journalist Association (KDJA), yang mengadakan kunjungan hormat di pejabatnya, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, beliau sengaja mahu berkongsi perkara itu kerana pihak pembangkang sentiasa memperkecilkan usaha yang dilakukan BN dan kerajaan.

“Ini bukan soal riak dan takbur tapi kita ada bukti. Jika kita bekerja keras, tidak ada yang mustahil. Walaupun kita diperkecilkan oleh pihak sana, kita bekerjasama dengan ahli komponen BN untuk belajar daripada pencapaian di Sarawak.

“Dua kali, PRU-12 dan PRU-13, kita tak dapat 148 kerusi untuk mendapat majoriti dua pertiga. Di negara lain, dengan majoriti satu atau dua (kerusi) sudah dianggap kerajaan yang stabil tapi pencapaian kita pada PRU-13 adalah 134.

“Minimum majoriti dua pertiga adalah 148 kerusi, kurang 14, dua orang daripada 134 meninggalkan gelanggang. Tak apa, Insya-Allah,” katanya. – WD MY