PUTRAJAYA, 11 Jun – Penguatkuasaan mewajibkan penggunaan tempat
duduk khas untuk bayi dan kanak-kanak dalam kenderaan mungkin hanya boleh
dilaksanakan pada 2019, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz
Kaprawi.

Menurut beliau, kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya empat tahun untuk
melaksanakan undang-undang itu kerana tertakluk kepada beberapa prosedur.

Ini termasuk proses advokasi kepada masyarakat untuk mendapat maklum balas
mereka dalam tempoh dua tahun, selain dua tahun lagi untuk percubaan,” katanya
kepada media selepas melancarkan Kempen Penggunaan Sistem Penahan
Kanak-Kanak di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia sebagai anggota Forum Dunia bagi Pengharmonian
Peraturan-Peraturan Kenderaan (WP29), wajib mengadaptasi peraturan Pertubuhan
Bangsa Bersatu (PBB) sebagai penanda aras tahap kualiti produk automotif
yang dipasarkan.

Katanya bermula 1 Jan tahun ini, semua penyedia kenderaan diwajibkan
menyediakan kelengkapan dan kemudahan untuk tempat duduk khas bayi dan
kanak-kanak atau ISOFIX bagi kenderaan yang dihasilkan selepas tarikh itu.

Beliau berkata kesedaran tentang keselamatan dalam kalangan ibu bapa perlu
ditingkatkan memandangkan statistik 2013 menunjukkan 53 kanak-kanak dan bayi
terlibat dalam kemalangan dan daripada jumlah itu, 31 meninggal dunia.

“Pendaftaran kenderaan baharu turut meningkat kepada 1.5 juta setiap tahun
dan ini penting untuk memberi kesedaran mengenai tempat khas kanak-kanak untuk
dipraktikkan oleh masyarkat kita,” katanya.

Ab Aziz juga meminta orang ramai untuk membeli tempat duduk khas yang
diiktiraf dan memenuhi standard antarabangsa ditetapkan walaupun harganya dalam
lingkungan RM600 hingga RM4,000 sebuah.

“Dengan permulaan kempen ini, saya berharap syarikat tempatan akan dapat
menghasilkan tempat duduk kanak-kanak agar dapat dijual dengan harga yang lebih
murah kerana kebanyakan tempat duduk kanak-kanak di pasaran adalah diimport,”
katanya.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY