KUALA LUMPUR, 24 Julai – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana)
memberi masa hingga minggu depan kepada dua syarikat untuk mencari penyelesaian
muktamad bagi masalah sistem brek yang dialami tren Transit Aliran Ringan (LRT).

Menurut Pengarah urusan kumpulannya, Datuk Azmi Abdul Aziz berkata beliau
memaklumkan perkara itu kepada kedua-dua syarikat berkenaan pada perjumpaan
dengan mereka semalam.

“Saya menggesa mereka, dan ia bukan suatu opsyen, supaya mencari
penyelesaian muktamad bagi menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya
kepada media hari ini.

Azmi berkata beliau berharap, menjelang berakhirnya tempoh yang diberikan,
kesemua 70 tren LRT yang digunakan bagi aliran Kelana Jaya, akan berjalan lancar
dan tidak lagi mengalami sebarang masalah.

Syarikat berkenaan ialah sebuah syarikat pengeluar tren dari Kanada dan
sebuah syarikat pengeluar sistem brek dari Jerman.

Azmi bagaimanapun tidak menyatakan tindakan selanjutnya yang akan diambil
Prasarana sekiranya syarikat terbabit gagal mematuhi tempoh yang ditetapkan itu.

Sebelum ini, Bernama melaporkan bahawa Azmi menyatakan kedua-dua syarikat
berkenaan telah dimaklumkan tentang kelemahan sistem brek pada tren empat
gerabaknya pada awal tahun ini.

Kata Azmi, dua kejadian melibatkan tren LRT pada Rabu lepas, adalah yang
keenam sejak 11 Feb tahun ini, yang melibatkan kerosakan sistem brek bagi tren
yang memberi perkhidamtan di aliran Kelana Jaya.

Dalam kedua-dua kejadian itu, yang mengakibatkan gangguan sementara terhadap
perkhidmatan bagi laluan berkenaan, asap tebal kelihatan keluar dari tren
terbabit.

Kejadian pertama berlaku di stesen Setiawangsa pada 8 pagi, manakala
kejadian kedua berlaku pada 12.18 tengah hari berhampiran stesen Universiti di
Petaling Jaya pada hari yang sama.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY