ALOR SETAR, 17 Nov – Kerajaan Negeri Kedah akan membuka tender
kepada syarikat-syarikat yang berwibawa untuk menguruskan loji pelupusan sampah
(insinerator) yang terletak di Pulau Langkawi, persidangan Dewan Undangan Negeri
Kedah diberitahu hari ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga
dan Badan-badan Bukan Kerajaan Datuk Badrol Hisham Hashim berkata insinerator
yang terletak di Kampung Belanga Pechah, Kuah yang mula beroperasi pada
pertengahan tahun 2012 terpaksa dihentikan enam bulan kemudian akibat masalah
operasi.

“Insinerator itu telah dibina oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan namun akibat beberapa masalah pengurusan, ia terpaksa dihentikan enam
bulan selepas mula beroperasi.

“Ini kerana terdapat masalah teknikal dan kos operasi, jadi bagi mengatasi
masalah itu, kita akan buka tender kepada syarikat yang berwibawa untuk
mengambil alih dan memastikan insinerator itu beroperasi kembali,” katanya
ketika menjawab soalan Nor Saidi Nanyan (BN-Kuah).

Badrol Hisham berkata pihaknya akan cuba menyelesaikan masalah itu dengan
segera kerana sedar isu kebersihan sangat dititikberatkan di Pulau Langkawi
sebagai tempat pelancongan.

“Kita sedar penting untuk menguruskan sampah di Langkawi dan sekiranya
tender bagi menguruskan insinerator itu muktamad, ia dapat menyelesaikan masalah
yang timbul,” katanya.

Insinerator sebanyak dua unit yang terletak di Kampung Belanga Pechah, Kuah
itu mula dibina para 18 Mac 2008 dan mula beroperasi pada 22 Mei 2012.

Insinerator yang beroperasi dengan membakar bahan buangan sebanyak 100 tan
sampah sehari mampu menjana tenaga sehingga 1 megawatt dan sepanjang beroperasi,
sebanyak 30,000 tan sampah telah dilupuskan.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY