Tengku Adnan Akan Berbincang Agar KLFA Dibenar Beraksi Pada Piala FAM2017

0
119

PUTRAJAYA, 15 DisĀ  – Dibenar…….. Penaung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, merayu supaya pasukan bola sepak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diberi peluang untuk beraksi dalam saingan Piala FAM 2017.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata beliau akan berbincang dengan Presiden KLFA berhubung perkara itu dalam masa terdekat bagi membolehkan pasukan DBKL bersaing dalam liga itu.

Jelas beliau, isu tidak memenuhi beberapa kriteria termasuk gagal mencapai kejayaan dalam kempen domestik adalah tidak benar kerana pasukan DBKL suatu masa dahulu pernah mencungkil serta melahirkan beberapa bakat baharu dalam arena bola sepak.

“Pasukan DBKL juga adalah ahli gabungan yang membayar yuran ahli dan sekiranya tidak dibayar, kita boleh bayarkan, masalahnya kenapa mereka tidak dibenarkan untuk menyertai saingan piala ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian beg sekolah kepada seluruh sekolah rendah di Putrajaya, petang semalam.

Tengku Adnan berkata mengulas desas-desus permohonan DBKL beraksi dalam Piala FAM ditolak gara-gara gagal memenuhi beberapa kriteria antaranya perlu bergelar juara atau naib juara Liga Super Kuala Lumpur atau pilihan kedua, sekurang-kurangnya bergelar juara Divisyen 1 di samping memenangi kempen Piala FA.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustafa, dalam satu kenyataan mengesahkan perkara itu sambil menjelaskan kriteria itu sudah ditetapkan sejak Mesyuarat Agung Tahunan badan induk itu pada 2014.

Pasukan DBKL yang kali terakhir menjuarai Liga FAM pada 1990 difahamkan baharu sahaja menubuhkan pasukan pada tahun ini dengan mereka beraksi dalam saingan Divisyen 1 Kuala Lumpur. – WD MY