KUALA LUMPUR, 9 Mei – Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hadir ke majlis pecah Tanah Projek Pembangunan Pangsapuri Kos Rendah Sentul Raya.
Projek berkenaan tergendala lebih 20 tahun berikutan masalah penempatan setinggan dan penempatan semula kuil-kuil di atas tapak projek itu.

Menurut Tengku Adnan, pembangunan pangsapuri kos rendah merupakan usaha kementerian Wilayah Persekutuan bagi penduduk di Kuala Lumpur khususnya yang masih tinggal di rumah setinggan.

Tengku Adnan dalam ucapannya menitiskan airmata kerana penduduk di Sentul menanti lebih 20 tahun untuk pembinaan pangsapuri kos rendah di sini.

“Hari ini merupakan sejarah bagi penduduk di Sentul penantian selama 20 tahun akhirnya mereka bakal menghuni pangsapuri yang di nantikan,” kata Tengku Adnan.

Projek Perumahan Kos Rendah di Sentul yang tergendala lebih 20 tahun bakal disiapkan dalam tempoh 34 bulan pada harga RM42,000 seunit, kata Menteri Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, projek berkenaan bakal menempatkan 250 keluarga setinggan di kawasan tersebut yang sebelum ini dipindahkan ke perumahan rakyat di Bukit Jalil dan Rumah Panjang Jinjang Utara.

“Sebagai kerajaan yang prihatin dan sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat, kerajaan menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan sentiasa berusaha membantu menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr J Loga Bala Mohan dan Pengerusi YTL Land and Development Bhd Datuk Suleiman Abdul Manan.

Sementara itu, Suleiman yang juga Pengerusi Sentul Raya Sdn Bhd, dalam ucapannya berkata projek perumahan kos rendah tersebut merupakan sebahagian daripada projek Sentul Urban Renewal iaitu projek usahasama antara Sentul Raya Sdn Bhd dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Projek itu berasaskan pembangunan terancang dan strategik berdekatan dengan UTC Sentul bagi menyediakan kemudahan asas dan mewujudkan sebuah kawasan perumahan yang selamat dan selesa.- Faizal Dato Badarudin, Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY