KUALA LUMPUR, 15 April – SPEKULASI…… Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung senarai calon BN yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata pemilihan calon dibuat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan teliti dan meminta agar tiada pihak terguris hati apabila nama calon diumumkan tidak lama lagi.

“Kita dah buat percaturan mengenai siapa yang layak jadi calon dan kita minta agar semua ikut prinsip walla’, wasatiyyah dan tabayyun. Siapa yang akan jadi calon, tunggu sahajalah kerana apa yang penting kita perlu bersatu dalam memastikan kemenangan bagi pihak kita.

Saya juga percaya penamaan calon akan dibuat lebih awal sebelum 28 April. Terima sahaja dengan hati terbuka,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) Residensi Razakmas kepada 427 pemilik kediaman itu, di Bandar Tun Razak, Cheras semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai ura-ura, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bakal bertanding sebagai calon Parlimen Bandar Tun Razak.

Sementara itu, Residensi Razakmas berkeluasan 1.63 hektar yang dibangunkan pemaju Aset Kayamas Sdn Bhd itu berjaya disiapkan 16 bulan lebih awal dan turut dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya dewan serbaguna, taman permainan dan kawalan keselamatan 24 jam.

Tengku Adnan berkata residensi satu blok berketinggian 41 tingkat itu dijual pada harga RM198,000 seunit dengan keluasan 800 kaki persegi dan mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air selain satu parkir kenderaaan berbumbung.

Tambahnya, bagi suku pertama tahun ini, sejumlah tiga projek RUMAWIP dan satu projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) telah siap sepenuhnya.

“Sehingga kini, kerajaan juga berjaya menyiapkan sebanyak 17 projek RUMAWIP melibatkan 9,775 unit yang telah sedia untuk diduduki dan diserahkan kepada pembeli,” katanya. – WD MY