PUTRAJAYA, 5 Feb – Membantu…….Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hanya berhasrat dan mencadangkan untuk menjadikan Pulau Pinang sebahagian Wilayah Persekutuan bertujuan memastikan negeri itu menikmati pembangunan yang sama rata.

Tengku Adnan berkata hasrat yang dinyatakan beliau itu bukanlah berniat mahu meluaskan kuasa ke negeri itu, sebaliknya disebabkan keprihatinannya terhadap nasib masyarakat Melayu di sana.

“Apa yang berlaku di Pulau Pinang kita tahu, dia (kerajaan negeri) tidak pedulikan orang Melayu langsung,” katanya pada sidang media petang semalam.

Beliau berkata sekiranya perkara itu dapat direalisasikan, kerajaan pusat akan memastikan bahawa cara pembangunan di Pulau Pinang adalah untuk semua dan bukanlah untuk satu-satu kaum sahaja.

“Kita akan mentadbir daripada peringkat kerajaan pusat seperti di Labuan yang mana kita telah laburkan lebih RM5 bilion sejak dari tarikh kita ambil alih dan kita akan pastikan bahawa cara pembangunan itu untuk semua dan sama rata.

“Saya hairan kenapa parti DAP ‘meloncat-loncat’ (cepat melatah) dalam isu ini, barangkali mereka tahu yang kita tahu mereka tidak melaksanakan tanggungjawab (pentadbiran) di Pulau Pinang dengan sempurna,” katanya.

Namun, katanya, semua itu hanyalah hasrat dan idea daripada beliau sendiri sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan perkara itu memerlukan kertas cadangan, referendum serta persetujuan di peringkat kepimpinan negara sebelum boleh dilaksanakan.

Bukan saja di Pulau Pinang, malah idea yang sama turut dirasakan bersesuaian dilaksanakan di Pulau Langkawi, Kedah; Pulau Tioman, Pahang dan sebahagian Melaka. – WD MY