KUALA LUMPUR, 11 Julai – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini hadir melancarkan kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran Dan Flag Off Pelancaran Rondaan Sempena musim Perayaan Hari Raya Adilfitri 2015 di sini hari ini.

Program yang dianjurkan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai sempena menjelangnya Hari Raya Adil Fitri tidak lama lagi.

Hadir sama Penolong Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Dato Rusmani Muhamad, Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato Tajudin Md Isa, Dato Michael Ong, Pengarah Eksekutif Quill Group Of Companies dan komuniti serta badan bukan kerajaan.

Menurut Tengku Adnan, usaha dan inisiatif badan beruniform seperti Bomba dalam memastikan masyarakat berada dalam keadaan selamat dan selesa.

“Apa yang dilakukan oleh Jabatan Bomba, Polis mahupun agensi lain dapat dilihat oleh rakyat bahawa servis yang diberikan oleh penjawat kerajaan kepada rakyat untuk keselesaan dan keselamatan rakyat sendiri,” kata beliau.

Tengku Adnan juga berharap masyarakat dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk pasukan bomba untuk memastikan kesejahteraan Kuala Lumpur.

Beliau turut menyarankan pendidikan pencegahan kebakaran bermula dari awal supaya dapat memberi kesedaran dan pengetahuan berguna kepada anak-anak.

Sementara itu, sebanyak 362 kes kebakaran melibatkan harta benda direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur (JBPM KL) bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding 410 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarahnya, Khirudin Drahman yang ditemui media berkata ia melibatkan kerugian RM14.22 juta.

“Sembilan puluh sembilan peratus kes kebakaran berlaku disebabkan faktor 3L masyarakat iaitu Lupa, Leka dan Lalai,” katanya.

Bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan, Khirudin berkata pasukan peronda jabatan itu akan melakukan rondaan mulai 12 tengah malam hingga 6 pagi di kawasan berpotensi tinggi kemalangan.

Rondaan di lebuh raya sekitar Kuala Lumpur juga akan lebih tertumpu pada waktu puncak antara 2 petang hingga 6 petang, selain menempatkan pasukan perkhidmatan perubatan kecemasan (EMRS) bersama pasukan peronda untuk memberi bantuan segera.- Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY