KUALA LUMPUR, 8 Dis – Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selaku Setiausaha Agung Umno menyifatkan ucapan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kelab Sultan Sulaiman malam tadi mengandungi intipati yang boleh melemahkan parti.

Tengku Adnan berkata bahawa beliau sendiri akan melihat semula rakaman video ucapan oleh Muhyiddin dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum memutuskan tindakan yang bakal diambil parti itu.

“Saya amat kesal apa yang berlaku pada malam tadi, sebenarnya sehingga jam 3 pagi tadi saya mendengar ucapan Timbalan Presiden dan juga ucapan Tun Dr Mahathir,” kata Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

“Saya akan fikirkan (tindakan), hari ini saya akan ulang semula ucapan dia. Ada yang mengikut perlembagaan. Semalam nyata, dua-dua yang berucap, kaedah yang dia berucap itu melemahkan parti. Mereka cuba mempengaruhi perwakilan menentang Presiden parti…ini salah,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau persiapan Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi ini.

Tengku Adnan berkata, Muhyiddin seharusnya menghormati keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) dengan berucap tidak melepasi batasan ditetapkan, sekali gus boleh merugikan UMNO.

“Sekarang ini, jangan keluar cerita-cerita macam ini. Dia (Muhyiddin) dalam Majlis Tertinggi, kalau hendak bincang, saya sebut pagi tadi, dia boleh berucap tapi jangan melampaui batasan.

“Bila dia melampaui batas, tindakan akan diambil. Dia sendiri sudah bersetuju dalam MT akan akur apa yang diputuskan dalam MT, jadi kita akurlah.

“MT kata jangan cakap secara terbuka. Bila terbuka menyatakan parti ini lemah, parti ini sedang menghadapi pembangkang kerana bukan semua rakyat Malaysia ini menyokong UMNO,” katanya.-Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY