PUTRAJAYA, 28 April – SYUKUR….. Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersyukur tiada anggota BN yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya beliau percaya anggota BN yang berniat sedemikian akhirnya sedar bahawa BN merupakan parti yang sentiasa melihat kepentingan ramai.

“Syukurlah mereka tidak jadi bertanding, barangkali dah sedar bahawa BN merupakan satu parti yang sentiasa melihat kepentingan ramai,” katanya kepada media selepas selesai sesi penamaan calon di Parlimen Putrajaya hari ini.

“Malah mereka juga sebagai ahli parti tahu bahawa mereka mesti bersama-sama untuk menyokong parti bagi memastikan BN mencapai kemenangan pada PRU14,” katanya.

Spekulasi sebelum ini tersebar apabila bekas Ketua Pengarah  Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Mohd Puad Zarkashi mahu bertanding sebagai calon Bebas  selepas tidak dicalonkan di mana-mana kerusi pada PRU14.

“Saya juga bersyukur banyak telah kita selesaikan terutama UMNO dan MCA akrab di Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak. Kedua-dua kerusi ini kami akan rampas daripada pembangkang,” katanya.

Terdahulu Tengku Adnan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai calon BN untuk merebut kerusi Parlimen Putrajaya menentang Zainal Abidin Kidam (PAS) dan Datuk Dr Samsu Adabi Mamat (PKR-PPBM). – WD MY