PUTRAJAYA, 3 MEI – KETUA HAKIM…. Hakim Mahkamah Persekutuan, Tengku Maimun Tuan Mat dilantik sebagai ketua hakim negara yang baru bagi menggantikan Richard Malanjum yang bersara pada 12 April lalu.

Pelantikan itu sekali gus menjadikan Tengku Maimun sebagai wanita pertama di Malaysia memegang jawatan tersebut, berkuat kuasa hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Terdahulu, tempoh perkhidmatan Richard sebagai Ketua Hakim Negara berakhir pada 12 April lalu, setelah mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan.

Dalam kenyataannya Pejabat Perdana Menteri turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Richard di atas segala khidmat bakti beliau sepanjang memegang jawatan tersebut.

Untuk rekod, Tengku Maimun berkhidmat sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2006 sebelum dilantik menjadi hakim Mahkamah Tinggi.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan pada 2013 dan seterusnya dilantik menjadi hakim Mahkamah Persekutuan pada Nov lalu.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong akan dimaklumkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Majlis tersebut akan diadakan setelah mendapat perkenan baginda. – WD MY