WASHINGTON, 11 Feb – LANGKAH…. Pengunduran tentera darat Amerika Syarikat di Syria berkemungkinan besar berlaku beberapa minggu lagi seperti diarahkan Presiden Donald Trump, kata komander yang memantau tentera AS di Teluk, Jeneral Joseph Votel, semalam.

Votel, yang juga ketua Pemerintah Pusat AS, menjelaskan tempoh masa tepat bagi pengunduran itu bergantung kepada keadaan di Syria, yang menyaksikan pejuang disokong AS melancarkan serangan akhir terhadap wilayah dikuasai Daesh berhampiran sempadan Iraq.

Tentera AS sudah mula mengundurkan peralatan dari Syria.

Ditanya sama ada pengunduran lebih 2,000 tentera akan bermula dalam masa beberapa hari atau minggu, Votel berkata: “Kemungkinan mengambil masa beberapa minggu. Sekali lagi, ia bergantung kepada keadaan di situ.

“Dari segi pengunduran, saya rasa kami berada di landasan yang kami mahukan.”

Beliau berkata demikian kepada wartawan ketika lawatan ke Asia Barat.

Pengumuman mengejut Trump Disember lalu bahawa beliau akan mengundurkan tentera AS di Syria menyebabkan peletakan jawatan Setiausaha Pertahanannya, Jim Mattis, dan meletakkan pegawai tentera berusaha merangka pelan pengunduran yang mengekalkan seberapa banyak keuntungan.

Ratusan tentera tambahan dihantar ke Syria untuk membantu urusan pengunduran. — WD MY