KUALA LUMPUR, 3 Julai – Naib Presiden parti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
berkata penangguhan pemilihan UMNO tahun depan selama 18 bulan bertepatan dengan
kehendak akar umbi yang mahu pemilihan itu diadakan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Hishammuddin yang juga Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO
berkata maklum balas berhubung perkara itu diperoleh semasa biro berkenaan
mengadakan taklimat peringkat negeri awal tahun ini.

“Biro mendapat maklum balas daripada akar umbi yang mahukan pemilihan parti
ditangguhkan kepada selepas PRU14 bagi memberi fokus kepada gerak kerja pilihan
raya itu,” katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan bercakap kepada media selepas
mempengerusikan mesyuarat biro berkenaan di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, penangguhan itu turut memberi ruang yang boleh dimanfaatkan oleh
biro berkenaan untuk melakukan penambahbaikan terhadap beberapa fasal dalam perlembagaan
yang perlu dipinda bersesuaian dengan kehendak akar umbi.

Kali terakhir pemilihan UMNO dijalankan ialah pada Oktober 2013.
Hishammuddin seterusnya berkata biro yang ditubuhkan pada 2009 itu komited
melakukan gerak kerja turun padang ke beberapa negeri bagi menjelaskan perkara
yang melibatkan perlembagaan parti dan perundangan negara.

Katanya, hasil daripada program turun padang itu, biro memutuskan terdapat
empat perkara utama yang menjadi rintihan akar umbi iaitu usul bahagian,
pemilihan parti, keanggotaan dan pengupayaan perhubungan negeri.

Beliau berkata antara perkara yang dibangkitkan oleh akar umbi ialah
permohonan jawapan kepada usul yang dibangkitkan oleh perwakilan, memperkemas
jawatankuasa pemilihan parti dan memantapkan Prosedur Operasi Standard (SOP)
pemilihan parti serta memperkemaskan pendaftaran secara online.

Sehubungan itu, katanya, empat penyelaras akan dilantik bagi memberi tumpuan
terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan anggota akar umbi.

Hishammuddin berkata maklum balas yang dikumpul biro itu akan dibawa kepada
Majlis Tertinggi parti untuk tindakan lanjut.

Beliau juga berkata semua 638 usul bahagian sudah dijawab oleh pihak
kementerian, jabatan, agensi dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Ini merupakan pertama kali dalam sejarah kita melakukan susulan untuk
mendapatkan jawapan kepada usul yang dibangkitkan,” katanya.- Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY