ALOR SETAR, 11 Julai – Terbakar…. Bumbung kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bahiyah di sini terbakar dipercayai akibat disambar petir jam 11.20 malam tadi.

Bagaimanapun, 180 pelajar perempuan yang sedang tidur di bangunan asrama yang bersebelahan dengan kantin itu tidak terjejas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan jam 11.25 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

Katanya, operasi berkenaan diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Arizal Mahmud bersama sepasukan anggota bomba dan tiga buah jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Operasi turut dibantu dua Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Jalan Kundur dan Pokok Sena.

“Setibanya di lokasi kejadian, anggota kami melakukan pemeriksaan menyeluruh di bangunan itu dan mendapati terdapat kebakaran pada bahagian bumbung bangunan kantin kelas B akibat sambaran petir (Flash Point),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan manakala punca serta kerugian yang ditanggung masih di dalam siasatan. – WD MY