KUALA LUMPUR, APRIL 20:TERENGGANU….Setakat Disember tahun lalu, Terengganu merekodkan jumlah pelaburan tertinggi dalam sektor pembuatan dalam kalangan negeri di Pantai Timur.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman, berkata ada 210 projek yang dilaksanakan di negeri itu membabitkan nilai RM33.9 bilion.

 Kebanyakan projek berkenaan, katanya, adalah dari sumber domestik membabitkan nilai RM20.4 bilion atau 60 peratus, manakala bakinya dari syarikat asing.

Arham berkata, projek berkenaan yang sudah mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan, sebahagian besarnya dalam industri gas asli, produk petroleum (termasuk petrokimia), produk asas logam, produk getah dan industri peralatan pengangkutan.

“Banyak perkembangan yang sedang berlaku di Terengganu yang baik untuk perniagaan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lembah Silika Terengganu (TSV), Hab Teknologi Terengganu (TTH), Visit Terengganu 2018 dan pembinaan projek Taman Ilmu di Tembila akan memberi kesan positif kepada Terengganu,” katanya pada Program Siri Pelaburan MIDA ke-5 di sini, semalam.

Siri pelaburan yang bermula pada Januari tahun ini dimulai dengan Perlis dan Kedah, disusuli dengan Kelantan dan Pahang pada Februari itu, berfungsi untuk memberi maklumat terkini mengenai peluang pelaburan dan kemudahan di setiap 13 negeri di Malaysia.

Acara itu diteruskan hari ini dengan kerjasama antara MIDA dan Unit Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu (UTEN-T).

Ia menampilkan pembentangan mendalam oleh Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif UTEN-T, Datuk Wan Mohd Albakri Wan Md Noor.

Arham berkata, ECRL dengan laluan sepanjang 688 kilometer (km) yang menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor, Pahang, Terengganu dan berakhir di Tumpat, Kelantan akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi di kawasan pedalaman Pantai Timur.

“Ia juga akan menjadi pemangkin dalam memacu projek penting lain seperti TSV yang bakal menjadi lembah silika pertama dunia dan TTH iaitu hab kreatif dan kebudayaan yang pertama memupuk simbiosis pertumbuhan antara budaya dan teknologi,” katanya.

TSV yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 3 Mac lalu akan mewujudkan hingga 7,200 pekerjaan kepada penduduk setempat dan berupaya menghasilkan bahan perindustrian berasaskan silika berskala sederhana-besar.

MIDA menjadi sebahagian daripada pemangkin perubahan menerusi Pasukan Petugas Khas yang diwujudkan pada akhir tahun lalu membabitkan agensi kerajaan dan penyedia utiliti berkaitan.

Pasukan Petugas Khas itu berada pada landasan tepat untuk mencadangkan strategi pelaksanaan dan pelan tindakan yang berkesan untuk tempoh lima tahun akan datang.

MIDA juga menubuhkan pasukan penyelidikan mengenai rantaian silika dan kuarsa bagi mengenai pasti jurang dalam ekosistem dan mewujudkan peluang ke arah membangunkan kelompok industri yang kukuh dan komprehensif ke arah aktiviti hiliran yang lebih tinggi.

“Ini akan memberi peluang kepada pemain utama dalam industri kimia, elektrik & elektronik, logam, hijau, kaca dan bukan logam,” kata Arham.-MY WS