MARANG, NOVEMBER 20: Kelompok petani di negeri ini berpeluang mengusahakan projek pertanian berskala besar menerusi bantuan tabung khas dikenali Skim Bantuan Tani yang akan diperkenalkan kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim, berkata peruntukan untuk tabung itu akan diumumkan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam pembentangan Belanjawan Terengganu 2019 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ahad ini.

Beliau berkata, pinjaman tanpa faedah itu ditawarkan untuk petani yang akan mengusahakan projek tanaman kontan atau jangka pendek seperti sayur-sayuran antaranya ubi keledek vitato, jagung, ubi kayu dan tembikai atau menceburi bidang ternakan lebah, lebah kelulut dan ikan.

“Petani yang berhasrat memajukan bidang pertanian berskala besar ini digalakkan membuat permohonan, tetapi perlu membayar balik pinjaman mengikut kadar yang akan ditentukan kerajaan negeri.

“Jumlah pinjaman dan kadar bayaran balik akan diperincikan selepas pembentangan Belanjawan Terengganu 2019 diumumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Dialog Bersama Exco Pertanian di Dewan Semarak Pantai Kelulut, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, punca utama menyebabkan harga ikan di negeri ini lebih mahal berbanding negeri lain adalah kerana kebanyakan nelayan di negeri ini mengalami kesukaran mendaratkan hasil tangkapan di jeti pendaratan ikan berikutan muara sungai cetek.

Katanya, kajian dilakukan mendapati kebanyakan nelayan di negeri ini terpaksa mendaratkan hasil tangkapan di jeti pendaratan ikan di Tok Bali, Pasir Putih, Kelantan dan di Kuantan, Pahang.

“Kerajaan negeri mengakui harga ikan segar dijual di beberapa pasar utama di negeri ini mahal jika dibandingkan dengan beberapa negeri lain termasuk di Kuala Lumpur, berikutan nelayan terpaksa mengeluarkan pelbagai kos termasuk menyewa kenderaan dan bahan bakar untuk memunggah hasil tangkapan untuk dipasarkan di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM700,000 untuk menyediakan peti sejuk beku dan melaksanakan projek pembinaan jeti membaik pulih bot nelayan di kawasan jeti pendaratan ikan di Marang.

“Projek pembinaan peti sejuk beku ini bernilai RM200,000 dan jeti membaik pulih bot nelayan (RM500,000) untuk memudahkan golongan nelayan di Marang. Projek ini akan dilaksanakan tahun depan,” katanya.-MY WD