KUALA TERENGGANU, OKTOBER 4: LARANG…Liana Rosli atau lebih dikenali sebagai Kak KM yang juga pemilik produk jamu dan Rosalinda dikir barat tidak dibenar membuat persembahan pada Soho Festival yang akan bermula hari ini, hingga Sabtu di Stadium Negeri Terengganu, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengenai beberapa orang artis yang banyak menimbulkan kontroversi tidak dibenarkan membuat sebarang persembahan di negeri.

“Mengikut rekod sebelum ini, Kak KM dan Rosalinda tidak memenuhi syarat persembahan yang telah ditetapkan kerajaan negeri dan sebab itu mereka tidak dibenarkan membuat persembahan sama ada di atas dan di bawah pentas, mereka boleh datang hanya untuk menjual produk sahaja.

“Kita akan meletakkan penguatkuasa di tempat persembahan nanti dan sekiranya berlaku pelanggaran sya­rat persembahan, kita akan hentikan serta merta kerana penganjur sudah dimaklumkan sebelum ini mengenai syarat berkenaan,” katanya dalam satu sidang media di sini.

Manakala berhubung gegantung Soho Festival yang telah pun dibuang MBKT adalah kerana ia tidak menunjukkan sepertimana gegantung yang diberi ketika penganjur memohon permit.

Anak kepada pelakon Normah Damanhuri, Kak KM terkenal dengan ‘trademark’ yang mengghairahkan manakala artis dari Kelantan, Rosalinda pula hebat dengan persembahan dikir baratnya yang melalaikan.-MY WD