KUALA TERENGGANU, FEB 1: PINJAMAN…Kerajaan negeri menawarkan pinjaman tanpa faedah kepada usahawan negeri ini dengan memperuntukkan sejumlah RM15 juta untuk tujuan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman, berkata pinjaman di bawah Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) itu sudah dilancarkan dan ia adalah tabung pinjaman patuh syariah.

Beliau berkata, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk menguruskan TUGAS bagi dimanfaatkan oleh usahawan yang layak.

“Pinjaman tanpa faedah ini ditawarkan kepada semua usahawan, termasuk peniaga kecil dan usahawan berskala besar.

“Pinjaman berbentuk patuh syariah ini tidak akan membebankan usahawan kerana mereka hanya perlu menjelaskan bayaran berdasarkan jumlah pinjaman dan tiada sebarang faedah dikenakan.

“Jika mereka pinjam RM10,000, maka kena bayar RM10,000, kalau pinjam RM30,000 kena bayar RM30,000 saja,” katanya di sini, semalam.

Mohd Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kota Putera, berkata inisiatif itu akan memberi manfaat kepada usahawan dengan bantuan pinjaman bermula RM1,000 sehingga maksimum RM30,000.-MY WD