TERENGGANU TERAJUI CARTA PUNGUTAN PINGAT

TERENGGANU TERAJUI CARTA PUNGUTAN PINGAT

74
0

IPOH, SEPTEMBER 14: TERAJUI…Kontinjen Terengganu terus menerajui takhta pungutan pingat Sukan Malaysia (Sukma) 2018, selepas menambah tiga lagi pingat emas hari ini untuk mengumpul jumlah keseluruhan lapan emas pada hari ke-6 temasya yang menawarkan 23 emas itu.

Negeri Pantai Timur itu bagaimanapun hanya memiliki kelebihan satu emas ke atas Pulau Pinang di tangga kedua manakala Melaka di kedudukan ketiga.

Tiga emas Terengganu itu disumbangkan menerusi dua daripada acara judo yang diraih oleh Fakrul Adam Jose M. Cruz@Fauzi Cruz dalam acara lelaki 90 kilogram (kg) dan wanita 44kg melalui Alyaa Yasmeen Rosali serta satu lagi diperolehi di gelanggang wusyu dalam kategori Sanda 60kg, Wee Teck Siang.

Sementara itu, Pulau Pinang melonjak ke tangga kedua mengatasi Melaka yang turun satu anak tangga walaupun berkongsi tujuh pingat emas namun memiliki kelebihan daripada pungutan pingat perak pada temasya ke-19 kali ini.

Wusyu yang mempertandingkan 11 emas pada hari terakhirnya, hari ini menyaksikan Sarawak dan Negeri Sembilan masing-masing merangkul tiga emas dan Melaka menuai dua emas manakala Pulau Pinang, Johor serta Terengganu satu emas.

Dalam pada itu, bagi acara judo, Pulau Pinang mendominasi kutipan pingat emas dengan memenangi tiga emas daripada tujuh emas yang ditawarkan dengan menyaksikan dua emas menjadi milik Terengganu manakala satu emas diraih Johor.

Paling mencuri tumpuan adalah kontinjen Wilayah Persekutuan (WP) dalam acara gimrama apabila menyapu bersih empat emas yang dipertandingkan dalam acara individu di Stadium Indera Mulia yang menyaksikan keempat-empat emas itu menjadi milik Rayna Hoh.

Malah, pasukan itu menutup tirai pertandingan tersebut dengan menyapu bersih lima emas, mengulangi pencapaian edisi lalu di Sarawak.-MY WD