BUTTERWORTH, 6 Julai – Empat orang pekerja wanita sebuah bank di
Taman Selat di sini mengalami sesak nafas dan pedih mata dipercayai akibat
terhidu gas di dalam bank itu pagi tadi.

Menurut Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, M.Vijayan
pihak ambulans dari Hospital Seberang Jaya telah memberi rawatan kepada mereka.

Beliau berkata namun kebocoran gas didapati tidak berlaku di bank itu dan
premis lain di sekitarnya.

“Kemungkinan kebocoran gas itu dari sumber luar iaitu premis agak jauh dari
kawasan berkenaan dan angin membawanya hingga ke sini,” katanya di tempat
kejadian.

Seorang pekerja bank, Zuraida Ramli berkata ketika sedang bertugas, secara
tiba-tiba beliau terbau gas dan matanya mulai pedih.

“Mula-mula kami ingatkan gas itu berpunca daripada penyaman udara, lalu kami
tutupnya, tetapi bau itu masih ada dan beberapa lagi staf turut pedih mata
dan merasa loya,” katanya. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY