KUALA LUMPUR, DISEMBER 25:  ANUGERAH….Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin hari ini sempat mengusik Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ekoran kesilapan yang dilakukan dalam kenyataan Ahli Parlimen Bagan itu.

Dalam satu kenyataan hari ini mengenai pengenalan semula mekanisme apungan harga minyak, Guan Eng tersilap merujuk kepada Khairy sebagai “Datuk Khairy Jamaludin”.

Dalam perenggan tersebut, Guan Eng berkata Khairy antara ahli kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengakui masalah bayaran balik GST wujud, sekaligus menyangkal kenyataan bekas Perdana Menteri itu.

Khairy yang sinonim dengan sifat bersahajanya di media sosial tidak melepaskan peluang untuk berjenaka perihal perkara berkenaan.

Kementerian Kewangan pada 4.07 petang hari ini mengeluarkan semula kenyataan tersebut yang mengandungi pembetulan gelaran Khairy.

Khairy juga sempat membalas tweet Ketua Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dr Rais Hussin dan berkata beliau hanya berjenaka dan tiada sebarang niat jahat.-MY WD