NEW YORK, 24 Sept – Terima Kasih…….. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak atas amanah dan kepercayaan yang diberikan dengan pelantikannya sebagai Timbalan Pengerusi BN.

Timbalan Perdana Menteri yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada MCA dan MIC yang mengusulkan supaya beliau memegang jawatan itu yang mendapat persetujuan konsensus.

“Saya lihat bahawa tanggungjawab yang diberi oleh perdana menteri ini ialah untuk menentukan pemerkasaan dan pemantapan terhadap jentera pilihan raya BN keseluruhannya,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Pelantikan yang berkuat kuasa serta-merta itu diumumkan Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini.

Ahmad Zahid menarik perhatian bahawa UMNO harus berfikiran terbuka untuk berkongsi kaedah, strategi yang dilaksanakan dalam mana-mana jentera pilihan raya dengan tidak membiarkan mana-mana parti komponennya secara bersendirian.

Beliau berkata, tanpa meminggirkan media konvensional termasuk media cetak dan elektronik, BN perlu menggunakan media baharu untuk mendekati dan memenangi hati pengundi baharu dan pengundi golongan pertengahan yang menjadi faktor penentu dalam kemenangan pilihan raya. – WD MY

LEAVE A REPLY